Monday, June 27, 2011

Tips Jimatkan Wang


Saya nak kongsi 10 tips berikut untuk anda. Semoga bermanfaat. Sebar-sebarkan ya.

1.Beli barang pada harga borong/pukal
Beli barang secara pukal atau pada harga borong di Mydin, Carrefour, Tesco, Econsave, Giant atau mana-mana pasaraya bagi produk-produk seperti tisu, pampers, alat tulis, makanan sejuk beku atau dalam tin dan sebagainya dengan lebih murah.

Malah di Tesco anda boleh dapat Club Card percuma yang mana anda boleh kumpul point yang boleh dapat voucher percuma. Lagi banyak anda beli dengan club card lagi banyak penjimatan. Kalau beli di kedai runcit biasa memang boleh tapi rugilah sebab tak dapat nak jimat lebih sikit berbanding di pasaraya besar yang memang menyediakan banyak manfaat. Jadilah pengguna yang bijak !

2. Beli barangan second hand @ lelong murah
Contohnya seperti beli buku second hand di paylessbook dekat
Carrefour Subang Jaya atau mana-mana tempat yang harganya kurang dari separuh. Ada rakan saya pernah beli majalah luar negara dengan harga yang jauh lebih murah, isi kandungannya lebih penting walaupun dah second hand tapi ia tetap mendatangkan pulangan yang lebih baik. Namun begitu anda juga boleh beli di mana-mana web lelong yang menawarkan jualan buku second hand termasuklah di www.lelong.com.my , www.ebay.com.my atau mudah.my.

Lain-lain barang lelong juga boleh dipertimbangkan, misalnya kerusi, meja atau barangan bukan elektrik. Kalau macam laptop, PDA, handphone tu boleh cuba asalkan masih ada warranty dan kualiti masih ok. Memang banyak kelemahan kalau beli barangan elektronik second hand but kena berhati-hati dan teliti.

3. Musim Promosi & Megasale
Biasanya di Malaysia ada MegaSale, jadi pada waktu tersebut banyak tawaran yang cukup murah seperti pakaian di Parkson, Kluang Malletc.. Anda boleh ambil kesempatan ni beli pakaian atau barangan pada musim promosi yang mana pada waktu lain mungkin harganya dua kali ganda.

Rakan saya pernah beli satu set meja tulis dan kabinet yang mana harganya kini sudah meningkat 2 kali ganda selepas tamat tempoh bulan kemerdekaan Malaysia. Ia cukup berbaloi kerana kualiti bagus harga pula jauh lebih murah pada waktu promosi.

4. Manfaatkan kelebihan iTalk
Bagi mereka yang guna handphone boleh jimatkan duit dengan gunakan iTalk. Harga dia jauh lebih murah berbanding caj yang dikenakan telco lain sama ada panggilan di dalam atau luar negara. Dan boleh digunakan pada sebarang talian sama ada handphone ke handphone atau sebaliknya.

5. Kitar Semula / Recycle
Bagi mereka yang ada banyak koleksi paper atau majalah lama, botol, kaca, dan aluminum boleh kitar semula di pusat kitar semula yang telah disediakan di setiap negeri.
Sila rujuk web kitar semula untuk lebih lanjut, ia membolehkan anda dapat wang poket lebih di samping menjaga persekitaran yang lebih bersih.

6. Gunakan banyak Member/Privillege Card
Member card ni lebih kurang macam bonus link, real rewards, kad mesra, jusco card dan sebagainyalah kerana ia ada kemudahan point yang boleh ditukarkan hadiah di samping ada harga rendah bagi ahli apabila ia ditawarkan pada waktu-waktu tertentu.

Jika anda selalu isi minyak petrol di Shell boleh guna Bonus Link untuk dapatkan point, begitu juga di Petronas dan Carrefour boleh gunakan kad Real Rewards untuk kumpul point lebih banyak bagi menukarkannya dengan hadiah yang sesuai. Jadi ia taklah rugi sangat kerana kita akan dapat something yang ada nilai.

7. Beriadah di tempat awam
Kalau bagi mereka yang selalu ke gym dan jadi ahli dengan membayar beberapa ratus ringgit sebulan, better boleh jimatkan duit anda dengan berjogging sendiri di tempat2 rekreasi awam, boleh juga bersenam dalam rumah dengan bersihkan keseluruhan rumah, susun atur semula kedudukan, ataupu buat latih tubi di beranda rumah, di tempat reakreasi pun boleh juga sebab semua fasiliti sudah ada cuma kene bijak gunakannya saja.
Di samping beriadah dan bersenam kita jaga kesihatan dan kurangkan risiko kena penyakit. Berjogginglah sambil melihat alam yang indah dan tenang kita dan pada masa yang sama juga boleh menambah senarai rakan baru dengan bersosial dengan lebih ramai orang baru semasa berjogging atau bersenam di tempat awam.

8. Kurangkan hiburan banyakkan bacaan
Nak berhibur tak salah, tapi biarlah kena pada tempatnya. Misalnya nak tengok wayang, konsert artis  dan sebagainya better tak perlulah keterlaluan sangat. Duit tengok wayang tu lebih baik simpan untuk beli bahan bacaan yang bermanfaat seperti buku ilmiah tentang perancangan kewangan, cara tambah pendapatan atau buku yang bermotivasi dan berinspirasi.

9. Kurangkan makan di fast food restaurant
Macam McDonalds, KFC, Pizza hut dan sebagainya kurang elok kerana ia mengandungi pelbagai perasa, pewarna dan unsur kolestrol, lemak berlebihan. Lagipun harga dia lebih mahal dari restoran biasa, better rancang pemakanan dengan diet yang sihat di samping jimat belanja.
Begitu juga makan di kedai-kedai mamak seperti roti canai yang banyak
kalori dan kandungan kolestrol yang tinggi.
Sehubungan itu better berhati-hatilah dengan tempat makan di luar rumah. Kebanyakan hidangan makanan di luar banyak tertumpu kepada perasa dan perisa tambahan, ini tidak bagus untuk kesihatan kita.

10. Masak & Makan di rumah
Ini salah satu cara nak jimat duit, kalau teh kat luar sana dekat RM1.00 manakala kalau buat sendiri kat umah tak sampai 40 sen pun
segelas. Begitu juga nasi, lauk dan lain-lain makanan/minuman yang
boleh dijimatkan dengan adanya satu sistem yang tersusun di rumah.

Thursday, June 16, 2011

Tip Amalan Berjimat Cermat

Tip 1: Sediakan bajet kewangan keluarga
Ukurlah baju di badan sendiri. Elakkan berbelanja di luar kemampuan. Melalui bajet kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Utamakan yang utama bagi keperluan keluarga.

Tip 2: Merancang kewangan untuk masa depan
Sediakan payung sebelum hujan. Wujudkan simpanan tetap atau tabungan untuk masa depan atau kecemasan. Boleh juga membuat simpanan dalam skim takaful yang memberikan manfaat perlindungan yang tidak kita dapati dengan simpanan biasa. Bagi mereka yang berminat dengan amanah saham, pilihlah yang terbaik untuk membuat pelaburan.

Tip 3: Masak sendiri
Kurangkan makan di kedai. Ini lebih jimat, terutama bagi keluarga yang ramai. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga serta lebih terjaga kebersihannya. Secara tak langsung keluarga yang sihat akan mengurangkan kos perubatan yang tidak kurang mahalnya.

Tip 4: Bawa bekal ke pejabat atau sekolah
Jangan malu untuk membawa bekal ke pejabat. Malahan anak-anak juga perlu diajar membawa bekal ke sekolah. Dengan cara ini kita dapat berjimat  paling kurang RM3 sehari. Duit yang dijimatkan ini boleh dijadikan simpanan untuk masa hadapan dan kecemasan.

Tip 5: Elakkan memandu kenderaan sendiri
Walaupun harga minyak telah turun namun amalan berjimat akan sentiasa menguntungkan kita. Gunakan kenderaan awam seperti bas, komuter atau LRT sebagai alternatif. Atau boleh juga berkongsi kereta dengan rakan sepejabat.

Tip 6: Jimatkan penggunaan air, elektrik dan gas
Keluarga perlu dididik untuk menghargai nikmat ini dan elakkan dari pembaziran. Tutup peralatan elektrik di ruang yang tidak digunakan. Berpada-pada menggunakan pendingin udara, begitu juga air di bilik mandi ketika mandi atau mencuci.

Tip 7: Tanam sendiri sayur-sayuran
Serai, kunyit, daun pandan dan daun kari mudah untuk ditanam. Bagi yang tidak mempunyai tanah dan ruang masih boleh menanamnya di dalam pasu. Begitu juga sayuran seperti sawi, kangkung, cili malahan pisang juga tidak susah untuk ditanam. Mengamalkan cara ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dari perlu membeli sayur-sayuran yang telah ditanam seterusnya dapat mengisi masa lapang bersama keluarga.

Tip 8: Elakkan membawa anak-anak ketika membeli belah
Ini satu langkah yang baik, kerana kehadiran anak-anak biasanya mendorong kita membeli barang-barang yang tidak sepatutnya dibeli. Seelok-eloknya senaraikan barang-barang yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum keluar membeli belah. Cara ini dapat menjimatkan masa dan juga menggelakkan tabiat boros berbelanja.

Tip 9: Beli secara pukal
Ini jauh lebih murah berbanding jika kita membeli secara sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan saiznya. Beli barang-barang sama ada untuk stok seminggu atau sebulan. Ini akan menjimatkan wang dan masa.

Tip 10: Lakukan perbandingan harga dahulu
Amalan ini adalah penting kerana kadang kala terdapat perbezaan harga di antara kedai, lain tempat lain harga walaupun barang yang dijual adalah sama dari segi jenis dan kualitinya. Amalan ini membantu juga untuk berjimat.

Tip 11: Kurangkan pembelian barangan berjenama
Dalam situasi ekonomi yang merosot kini, kita tidak perlu terlalu berkira tentang jenama barangan yang ingin dibeli. Jika barangan tersebut mempunyai kualiti yang baik setanding dengan barangan berjenama, kita sebagai pengguna harus bijak memilihnya.

Diharapkan agar panduan di atas dapat memberikan sedikit sebanyak informasi berguna kepada kita sebagai pengguna dalam menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu kini seterusnya menjadikan kita sebagai pengguna yang bijak.

Cara Bijak Menguruskan Wang

JIKA hari ini anda mempunyai wang RM1 juta, beringat-ingatlah ia belum pasti akan bertambah, sebaliknya ia boleh mendorong anda kembali menjadi miskin. Perkara ini sudah terjadi kepada seorang ibu tua di Kampung Felda LBJ, Nilai, Negeri Sembilan.



Semua ini kerana pemegang wang itu tidak bijak mengurus kewangannya. Begitu juga pengalaman yang terjadi kepada ribuan pesara yang telah mengeluarkan wang carumannya di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Bukan suatu yang pelik apabila wang KWSP yang disimpan sejak muda hingga bersara, dalam masa yang singkat boleh habis begitu sahaja. Daripada angan- angan untuk merasa nikmat menjadi orang kaya, ia juga mampu mengubah kita bertukar menjadi miskin.


Daripada penyelidikan KWSP, 60 peratus wang pesara dihabiskan dalam tempoh tiga dan empat tahun sahaja selepas dikeluarkan. Sedangkan jangka hayat rakyat negara ini sekarang boleh mencecah hingga usia 75 tahun.Wang simpanan daripada 23 peratus gaji bulanan pekerja itu sewajarnya diperuntukkan untuk faedah diri pencarum sendiri apabila tidak bekerja lagi pada masa tua.


Bagaimanapun ada pencarum yang menggunakan wang KWSP mereka untuk anak-anak seperti membeli motosikal dan mengadakan majlis perkahwinan, menyebabkan wang mereka habis begitu sahaja.


Apabila wang habis, anak-anak tidak mahu menjaga mereka lalu terpaksa pula minta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jika demikian aliran pengurusan kewangan majoriti pesara yang berumur 55 tahun bagi sektor swasta dan 56 tahun (sektor awam), bagaimana mereka ingin meneruskan kehidupan untuk 20 tahun lagi. Ini ditambah lagi dengan kos barangan keperluan dan kesihatan yang kian meningkat.


Semua ini terletak pada diri pencarum, baik yang berumur muda ataupun masuk ke pintu persaraan untuk beringat-ingat sebelum menyesal kemudian hari.


Hakikatnya sejak beberapa tahun ini banyak godaan supaya pencarum mengeluarkan wang simpanan hari tua mereka. Wujudnya skim pengeluaran untuk bayaran pendahuluan dan baki pinjaman perumahan, skim pengeluaran pendidikan dan kesihatan serta skim pelaburan unit amanah.


KWSP memang bermurah hati memberi kelonggaran kepada pencarum untuk mengeluarkan simpanan mereka tetapi ada yang menyalahgunakannya.


Pemikiran masyarakat pencarum negara kita mudah dibaca. Jika wujud kemudahan pengeluaran wang KWSP, seboleh-boleh mereka akan melakukannya walaupun keperluannya tidak mendesak. Banyak alasan boleh diberikan misalnya untuk mengurangkan beban hutang ataupun beban kewangan lain yang seharusnya perlu diselesaikan tanpa mengharapkan wang KWSP.


Pencarum perlu tanya mengenai kemampuan diri sebelum memilih sama ada mengeluarkan wang caruman untuk skim pengeluaran yang disediakan atau biar sahaja disimpan untuk kegunaan masa selepas bersara kelak.


Dalam keadaan usia warga emas, seseorang pencarum memerlukan sumber kewangan. Tetapi bagi golongan yang malas berfikir tentang takdirnya di hari tua, pengeluaran daripada KWSP merupakan jalan singkat dan terbaik untuk mencari penyelesaian.

Mereka mudah lupa, biasanya institusi-institusi kewangan berada dalam keadaan sukar untuk memberikan pinjaman kepada mereka yang telah berumur.


Bukan untuk menghalang sesetengah pencarum yang memerlukan wang KWSP mereka untuk tujuan pelaburan, misalnya membeli rumah ataupun membeli unit- unit saham amanah yang boleh mendatangkan pulangan kepada mereka ketika dividen daripada simpanan dalam KWSP sekitar lima peratus berbanding lapan peratus tahap tertingginya dahulu.


Memang di atas kertas dan jika dilihat pada situasi sekarang, semua skim itu boleh membantu pencarum. Tetapi jika dipandang jauh-jauh, tidak banyak membantu pencarum apabila jumlah simpanan hari tua itu bertambah susut jumlahnya.


Bagi golongan berpendapatan tinggi penggunaan wang KWSP untuk tujuan itu tidak begitu dirasai berbanding golongan berpendapatan rendah.


Oleh kerana banyak godaan pengeluaran yang dibenarkan oleh KWSP sekarang, kita mengharapkan satu skim seumpama skim pencen sektor awam diperkenalkan untuk pekerja swasta.

Kita tertanya-tanya mengenai cadangan kerajaan untuk mewujudkan Pelan Pencen Swasta yang pernah dikemukakan pada 2005. Bilakah ia dapat dilaksanakan?


Jika ia dilaksanakan, biarlah KWSP menguruskannya walaupun diakui ada kalanya dividen yang diberikan turun dan naik tetapi kredibiliti mereka sebagai badan pelaburan masih berada pada tahap yang tinggi. Eloklah pelan itu dijayakan bagi memastikan kehidupan pesara tidak terabai dan jatuh miskin.


Namun sebelum ia difikirkan semula oleh kerajaan, 11 juta pencarum KWSP mesti menyedari wang caruman merupakan untuk simpanan hari tua mereka, oleh itu janganlah ghairah untuk mengeluarkan wang itu sekarang.

Thursday, May 19, 2011

Bagaimana..??Apakah..Benarkah??

Bagaimana untuk memulakan perancangan kewangan anda dengan cara yang betul...
Bagaimana menyediakan pelan kewangan anda sendiri...berdasarkan keperluan dan matlamat kewangan anda sendiri...
Bagaimana untuk mengetahui kedudukan kewangan anda ketika ini? Adakah berada dalam keadaan normal, ada lebihan wang atau terlebih belanja wang?
Bagaimana untuk mengenalpasti sumber pendapatan dan perbelanjaan anda?
Bagaimana untuk mendapatkan wang, simpan dan labur dengan cara yang sebenarnya?
Bagaimana caranya dengan hanya menyimpan RM20 sehari, anda juga boleh bergelar JUTAWAN!
Bagaimana mengetahui potensi pulangan pelaburan yang anda sertai...?
Bagaimana cara sebenar menggunakan Kad Kredit!
Apakah yang patut diberikan keutamaan dalam perancangan kewangan? Pendapatan atau Simpanan?
Bagaimana untuk menggunakan hutang dengan cara yang betul bagi mengelakkan anda ditimpa masalah beban kewangan yang meruncing!
Apakah yang perlu dilakukan sebelum anda melabur!
Apakah pelan bebas faedah (tanpa faedah 0%) benar-benar menguntungkan anda? Benarkah anda tidak perlu membayar sebarang faedah???.
Ketahui hak anda ketika membuat pinjaman..
Ketahui bilakah anda harus membuat pinjaman ???
Bagaimana untuk menguruskan hutang pinjaman dengan efektif???

Persoalan-persoalan yang memerlukan jawapan dari anda ...

Wednesday, February 16, 2011

Baju Idaman Saya - Rancang Kewangan Kita

Setelah kita mempunyai pendapatan, maka kita akan gunakan wang tersebut untuk berbelanja tetapi sebelum itu kita perlulah membuat perancangan. Ini adalah kerana sebaik-baik sesuatu perkara itu mestilah terlebih dulu dirancang. Perancangan boleh dibahagikan kepada dua iaitu perancangan jangka pendek dan perancangan jangka panjang.


Baju idaman saya!!
 Contoh perancangan jangka pendek adalah kita hendak membeli baju impian kita. Jadi, kita kumpul wang dalam tempoh beberapa minggu atau bulan untuk mendapatkan wang sekitar RM30.00 (mengikut harga baju).

Bagi perancangan jangka panjang pula seperti untuk membeli kereta, berkahwin, membeli rumah dan sebagainya. Ini memerlukan kita menabung atau mengumpul wang untuk tempoh yang lebih lama kerana melibatkan jumlah wang yang besar.

Apa pun, kita perlu rancang dari sekarang.

Anda sudah merancang?

Monday, February 14, 2011

Bagaimana Kita Memperolehi Wang

Setiap orang memerlukan wang untuk berbelanja. Berbelanja untuk barang keperluan asas (seperti makanan dan tempat tinggal). Seseorang itu memperolehi wang dengan beberapa cara, iaitu dengan bekerja (lalu ia mendapat upah atau gaji), pemberian orang lain (seperti pelajar yang memperolehi wang dari ibu bapa atau pelajar yatim memperolehi wang dari Jabatan Kebajikan dan sebagainya).

Sebagai seorang yang masih belajar dan tiada mempunyai punca pendapatan sendiri, saya memperolehi wang daripada ibu bapa saya bagi tujuan perbelanjaan makanan di sekolah (jika saya tidak membawa bekal), perbelanjaan yuran sekolah, pembelian buku latihan dan sebagainya.

Duit raya, memang dinantikan
Hari raya adalah hari yang saya dinanti-nantikan. Selain baju dan kuih raya, duit raya adalah perkara yang mencuri perhatian semua. Setiap kali hari raya puasa, saya memperolehi duit raya (pemberian ahli keluarga serta saudara mara) sekurang-kurangnya berjumlah RM100.

Saya pasti, pelajar lain juga seperti saya. Walaubagaimanapun terdapat pelajar yang terpaksa mencari wang sendiri untuk bersekolah lantaran ibu bapa yang kurang berkemampuan atau mempunyai tanggungan yang ramai.

Menebas untuk mencari wang saku
Ada juga pelajar yang mencari wang ketika hujung minggu atau waktu cuti sekolah dengan cara bekerja sementara di restoran sebagai pelayan, pembantu kedai runcit, menolong menebas kebun jiran dan bermacam-macam kerja. Apa yang penting kerja-kerja yang dilakukan adalah baik, tidak melanggar undang-undang mahupun hukum syarak.

Oleh itu walaupun kita adalah pelajar, kita juga boleh merancang penggunaan wang yang diberikan oleh ibu bapa atau hasil kerja sementara itu agar wang tersebut dibelanjakan dengan sewajarnya.

Sunday, February 13, 2011

Apa Itu Wang?

Tender Sah Ringgit Malaysia
Wang atau duit merujuk sesuatu objek atau barang yang diterima masyarakat umum dan sah di sisi undang-undang sebagai medium pertukaran dalam urusan jual beli dan urusniaga lain. Wang juga berfungsi sebagai akaun dan piawai langsaian hutang.

Dalam kegunaan harian, wang dirujuk sebagai mata wang atau wang kertas dan syiling yang berada dalam edaran sesebuah negara yang mempunyai status tender sah seperti Ringgit Malaysia,Rupiah,Bhat dan sebagainya ; dan juga dalam pelbagai bentuk akaun deposit kewangan seperti akaun simpanan, akaun semasa dan sijil deposit. Dalam sistem ekonomi moden, mata wang adalah komponen terkecil dalam bekalan wang.

Sistem Barter memerlukan
 kehendak serentak dua pihak
Wang tidak mempunyai nilai benar tetapi digunakan sebagai pengukur nilai yang menjadi alternatif mudah kepada sistem barter. Tanpa wang, sistem ekonomi menjadi tidak cekap kerana sistem barter memerlukan kehendak serentak antara mereka yang mahu menukar barang, dan persetujuan bahawa pertukaran barangan ini mestilah sama nilai sebelum pertukaran barter berlaku.

Dengan wang, seseorang hanya perlu membayar wang kepada penjual untuk mendapatkan barang berkenaan. Penjual pula boleh menggunakan wang tersebut untuk mendapatkan barang yang diperlukannya.

Penggunaan wang dalam masyarakat menggalakkan perdagangan yang meningkatkan pembahagian kerja, yang menaikkan produktiviti dan kekayaan secara menyeluruh.